Deskripsi
Aktiviti ini menggabungkan kemahiran membaca, penerokaan geografi dan pembentangan digital melalui penggunaan teknologi Apple. Bahan pembelajaran ini direka khas menggunakan Mac bagi memanfaatkan ruang kerja yang lebih luas semasa proses pembangunan kandungan, namun ia turut dioptimumkan untuk digunakan pada iPad agar murid dapat menjalankan aktiviti secara interaktif dalam pelbagai persekitaran pembelajaran.
Berdasarkan petikan Menyusuri Pulau Inspirasi, murid meneroka negeri Tasmania di Australia dengan mengenal pasti lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam petikan serta meneroka tempat-tempat menarik lain menggunakan Apple Maps. Dapatan mereka kemudiannya disusun dalam slaid Keynote dan dipersembahkan melalui rakaman skrin (Screen Recording).
Melalui penggunaan Apple Maps, Keynote dan Screen Recording, murid dapat mengembangkan kemahiran literasi, komunikasi, kreativiti, kolaborasi dan pemikiran kritis sambil menghubungkaitkan pembelajaran dengan dunia sebenar.
Subjek
Bahasa Melayu
Tahap
Tingkatan 4 (Menengah Atas)
Tema
Tema 1: Merealisasikan Impian
Topik
Menyusuri Pulau Inspirasi
Area Fokus
Kemahiran Membaca, Penerokaan Maklumat dan Pembentangan Digital
Elemen Merentas Kurikulum
- Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
- Geografi
- Kemahiran Komunikasi
Objektif Pembelajaran
Murid dapat:
- Mengenal pasti lokasi-lokasi yang dinyatakan dalam petikan Menyusuri Pulau Inspirasi.
- Meneroka dan mengumpul maklumat tentang tempat-tempat menarik lain di Tasmania menggunakan Apple Maps.
- Menghasilkan pembentangan digital menggunakan Keynote melalui rakaman skrin (Screen Recording).
Aliran Pembelajaran
Engage: Mengaktifkan Pengetahuan Sedia Ada
Murid membaca petikan Menyusuri Pulau Inspirasi dalam modul Pages.
Murid:
- mengenal pasti maklumat penting dalam petikan;
- berbincang tentang destinasi yang dilawati oleh penulis; dan
- berkongsi pengetahuan sedia ada tentang Australia dan Tasmania.
Explore: Meneroka Lokasi dalam Peta
Murid meneroka peta Australia dan Tasmania.
Murid:
- mengenal pasti lokasi yang dinyatakan dalam petikan;
- memadankan nama tempat dengan kedudukannya pada peta; dan
- meneliti laluan perjalanan penulis sepanjang pengembaraan di Tasmania.
Create: Meneroka Destinasi Baharu
Murid menggunakan Apple Maps untuk meneroka tempat-tempat menarik lain di Tasmania.
Murid:
- mencari destinasi baharu yang menarik;
- mengumpul maklumat tentang lokasi tersebut;
- mengenal pasti kelebihan dan aktiviti yang boleh dilakukan; dan
- merekodkan dapatan dalam modul Pages.
Share and Collaborate
Murid menghasilkan slaid pembentangan menggunakan Keynote dan mempersembahkan hasil penerokaan melalui rakaman skrin.
Murid:
- menerangkan lokasi yang dipilih;
- berkongsi maklumat dan aktiviti menarik di lokasi tersebut;
- menyampaikan idea dengan jelas dan tersusun; dan
- berkongsi hasil pembentangan dengan rakan sekelas.
Penutup
Melalui penggunaan Keynote, Apple Maps dan Screen Recording, murid bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca dan mencari maklumat, malah berupaya mengembangkan kreativiti, komunikasi dan pemikiran kritis melalui pengalaman pembelajaran yang autentik dan bermakna.




Attach up to 5 files which will be available for other members to download.