Misi Arkeologi AR: Bawa Zaman Prasejarah ke dalam Kelas dengan Reality Composer

Menghidupkan Pembelajaran Sejarah melalui Penerokaan Artifak dalam Augmented Reality (AR) menggunakan Reality Composer (RC)

Bagaimanakah kita boleh membantu murid memahami kehidupan manusia prasejarah tanpa terus memberikan jawapan tentang fungsi artifak?

Dalam lesson design ini, saya menggunakan Reality Composer (RC) untuk membawa murid Tahun 4 meneroka kehidupan manusia prasejarah melalui sebuah perjalanan Mesin Masa yang ringkas. Cerita bermula apabila guru menunjukkan sebuah Kotak Artifak Lama dan mengajak murid menyiasat objek di dalamnya.

“Cikgu ada sebuah kotak berisi objek lama. Kita belum tahu bagaimana manusia dahulu menggunakannya. Jom naik Mesin Masa dan cari petunjuk bersama-sama!”

Murid kemudian meneroka dua hentian: Paleolitik dan Mesolitik. Pada setiap hentian, mereka memerhati model artifak, mengetik objek untuk membuka soalan dan berbincang tentang kemungkinan kegunaannya. Penerokaan ini menggunakan contoh seperti:

  • Alat batu.
  • Tembikar.
  • Alat logam.
  • Tapak unggun api.
  • Tempat perlindungan dan objek kehidupan harian.

Artifak dan unsur persekitaran ini menjadi bahan untuk murid membina inferens tentang kegiatan sosial dan ekonomi manusia prasejarah. Sebagai hasil akhir, setiap kumpulan mengubah suai satu scene AR untuk mempersembahkan penemuan mereka.

Aktiviti Pembelajaran:

Misi Arkeologi AR: Menyiasat Kehidupan Manusia Prasejarah melalui Artifak

Tempoh: 60 minit

Model Pembelajaran: 5E — Engage, Explore, Explain, Elaborate dan Evaluate.

Objektif Pembelajaran:

Dalam pelajaran ini, murid-murid akan:

  1. Mengenal pasti sekurang-kurangnya dua ciri kehidupan melalui pemerhatian model artifak dalam AR.
  2. Menghuraikan satu kegiatan sosial dan satu kegiatan ekonomi dengan bukti yang munasabah.
  3. Mengubah suai satu scene AR mudah dan menerangkan pilihan objek kumpulan.
  4. Menyatakan satu sebab artifak Zaman Prasejarah perlu dipulihara.

Penjajaran Subjek dan Kurikulum

  • Subjek: Sejarah
  • Peringkat: Sekolah Rendah - Tahun 4
  • Topik: Kehidupan Manusia Zaman Prasejarah
  • Sub-Topik: Kegiatan Sosial, Kegiatan Ekonomi dan Fungsi Artifak Zaman Prasejarah

Standard Pembelajaran

  • Kehidupan Manusia Zaman Prasejarah
  • Menghuraikan ciri kehidupan dari aspek kegiatan sosial dan ekonomi manusia Zaman Prasejarah.
  • Menyatakan kepentingan memulihara artifak Zaman Prasejarah.

Sepanjang penerokaan, murid akan menyiasat soalan seperti:

  • Apakah yang boleh diketahui melalui bentuk dan bahan sesuatu objek?
  • Bagaimanakah objek tersebut mungkin digunakan?
  • Apakah kaitannya dengan kehidupan harian manusia ketika itu?
  • Apakah bukti yang menyokong pendapat kita?

Bahan Pembelajaran:

  • iPad — meneroka dan mempersembahkan pengalaman AR.
  • Reality Composer — menyusun model 3D dan membina interaksi.
  • Pages atau workbook murid — merekod pemerhatian, inferens dan refleksi.
  • Buku teks atau sumber muzium — menyemak ketepatan maklumat sejarah.

Dalam Reality Composer, murid boleh mengubah kedudukan, putaran dan skala objek dalam mod suntingan. Selepas memasuki paparan AR dan menekan Play, murid mengetik objek untuk mencetuskan Behavior yang telah ditetapkan.

Persediaan Guru

Sebelum kelas, guru menyediakan:

  • Empat scene penerokaan yang dilabel mengikut zaman.
  • Model atau imej artifak yang telah disemak menggunakan sumber sejarah.
  • Kad soalan yang muncul apabila artifak diketuk.
  • Satu templat scene untuk diubah suai oleh murid.
  • Tangkap layar sebagai pilihan sokongan jika AR tidak dapat digunakan.

Tempoh 60 minit mengandaikan murid telah mengenali asas aplikasi. Guru menyediakan model dan templat terlebih dahulu supaya murid dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan sejarah.

Mesin Masa ialah unsur imaginasi. Model AR ialah representasi pembelajaran, bukan artifak sebenar; rupa, saiz dan konteksnya perlu disemak dengan sumber yang sesuai.

Aktiviti Pembelajaran: Misi Arkeologi AR melalui Model 5E

1. Engage — Buka Kotak Artifak Lama (7 minit)

Guru menunjukkan satu objek misteri atau gambarnya tanpa menerangkan fungsi objek tersebut.

Murid memberikan respons menggunakan rutin:

  • Saya lihat…
  • Saya fikir…
  • Saya tertanya-tanya…

Guru kemudian memperkenalkan Mesin Masa AR dan mengajak murid mencari petunjuk tentang kehidupan pemilik objek tersebut.

Bukti pembelajaran: Pemerhatian awal dan satu soalan daripada setiap murid.

2. Explore — Singgah di Zaman Prasejarah (18 minit)

Murid meneroka empat scene yang disediakan. Guru membimbing pertukaran scene supaya perjalanan mudah diikuti. Pada setiap hentian, murid:

  • Memerhati artifak dan objek di sekelilingnya.
  • Mengetik artifak untuk membuka kad soalan.
  • Merekod perkara yang dapat dilihat.
  • Membincangkan kemungkinan fungsi objek.

Soalan dipaparkan tanpa jawapan supaya murid mempunyai ruang untuk membina idea sendiri.

Bukti pembelajaran: Catatan pemerhatian dan inferens tentang sekurang-kurangnya empat objek.

3. Explain — Ceritakan Penemuan (10 minit)

Setiap kumpulan memilih dua artifak untuk diterangkan menggunakan rangka ayat:

“Kami fikir objek ini mungkin… kerana kami nampak…”

Murid menyemak inferens menggunakan buku teks atau bahan rujukan guru. Guru membantu mereka membezakan pemerhatian daripada andaian serta menghubungkan penemuan dengan kegiatan sosial dan ekonomi. Murid boleh mengubah penjelasan apabila menemui bukti yang lebih kukuh.

Bukti Pembelajaran: Penerangan tentang dua artifak berserta alasan.

4. Elaborate — Bina Sudut Kehidupan Prasejarah AR (15 minit)

Setiap kumpulan memilih satu zaman dan mengubah suai templat Reality Composer. Scene kumpulan perlu mempunyai:

  • Empat hingga enam objek yang sesuai dengan zaman pilihan.
  • Susunan objek yang munasabah.
  • Sekurang-kurangnya dua kad soalan interaktif.
  • Maklumat yang membantu menerangkan kegiatan sosial dan ekonomi.

Murid menguji scene dalam AR dan menyemak sama ada objek serta teks dapat dilihat dengan jelas. Bukti pembelajaran: Satu scene AR yang menggambarkan penjelasan kumpulan.

5. Evaluate — Lawatan AR dan Tiket Keluar (10 minit)

Kumpulan berpasangan dan berkongsi secara serentak. Setiap kumpulan memberikan lawatan AR selama 30–45 saat. Rakan memberikan:

  • Satu perkara yang diterangkan dengan jelas.
  • Satu soalan untuk penjelasan lanjut.

Setiap murid kemudian melengkapkan tiket keluar:

  1. Apakah satu kegiatan sosial manusia prasejarah yang kamu fahami?
  2. Apakah satu kegiatan ekonomi yang kamu kenal pasti, dan apakah buktinya?
  3. Mengapakah artifak Zaman Prasejarah perlu dipulihara?

Bukti pembelajaran: Penerangan lisan, maklum balas rakan dan respons individu.

Soalan untuk Perbincangan lebih Mendalam

Selepas penerokaan, perbincangan boleh diteruskan dengan soalan berikut:

  • Apakah perubahan yang kamu perhatikan antara zaman?
  • Bagaimanakah sesuatu alat mungkin mempengaruhi cara manusia bekerja?
  • Apakah petunjuk yang menunjukkan manusia hidup atau bekerjasama dalam kumpulan?
  • Adakah satu artifak sahaja mencukupi untuk menerangkan seluruh kehidupan masyarakat?
  • Apakah maklumat tambahan yang diperlukan untuk menguatkan penjelasan kamu?

Arahan Khusus untuk Pelajar

Langkah 1: Buka Mesin Masa

Buka projek Reality Composer yang diberikan oleh guru. Masuk ke scene pertama dan ikuti arahan untuk memulakan penerokaan.

Langkah 2: Perhatikan Artifak

Lihat bentuk, bahan, permukaan dan kedudukan objek. Ketik artifak semasa Play untuk membuka kad soalan. Catat pemerhatian sebelum membuat kesimpulan.

Langkah 3: Bina dan Semak Penjelasan

Lengkapkan ayat berikut dalam workbook:

“Saya nampak…” “Saya fikir…” “Bukti yang menyokong idea saya ialah…”

Bandingkan idea dengan rakan dan semak menggunakan bahan rujukan.

Langkah 4: Ubah Suai Scene AR

Pilih satu zaman. Dalam mod suntingan, susun empat hingga enam objek pada templat kumpulan.

Lengkapkan dua interaksi:

Tap pada artifak → Show kad soalan.

Uji interaksi semasa Play dan pastikan setiap kad dipaparkan pada objek yang betul.

Langkah 5: Kongsi Penemuan

Sampaikan lawatan AR selama 30–45 saat. Nyatakan zaman pilihan, terangkan dua objek dan hubungkan penjelasan dengan kehidupan manusia ketika itu.

Akhiri dengan satu persoalan yang masih ingin kamu terokai.

Soalan Perancah (Scaffold Questions)

Tembikar

  • Apakah yang kamu perhatikan tentang bentuk bukaan dan ruang di dalamnya?
  • Bagaimanakah bentuk tersebut mungkin berkaitan dengan kegunaannya?
  • Apakah bukti yang menyokong pendapat kamu?

Alat Batu

  • Bahagian manakah yang kelihatan berbeza bentuk atau permukaannya?
  • Bagaimanakah seseorang mungkin memegang objek ini?
  • Apakah kemungkinan kegunaannya berdasarkan ciri yang kamu lihat?

Tapak Unggun Api

  • Apakah yang kamu nampak di sekeliling tapak ini?
  • Apakah kegiatan yang mungkin berlaku di situ?
  • Apakah petunjuk tambahan yang kamu perlukan untuk menyemak idea tersebut?

Alat Logam

  • Apakah perbezaannya dengan alat batu yang kamu perhatikan?
  • Bagaimanakah bentuk dan bahannya mungkin mempengaruhi penggunaannya?
  • Apakah yang objek ini boleh ceritakan tentang perubahan teknologi?

Mengapa Pendekatan Ini Berkesan?

Pelajaran ini direka untuk menjadikan artifak sebagai titik permulaan kepada pertanyaan, bukan sekadar objek untuk dikenal pasti.

Jalan cerita Misi Arkeologi AR ini memberikan tujuan yang mudah: memerhati petunjuk dan memahami cara hidup manusia dahulu. Reality Composer pula membolehkan murid meneroka representasi objek dan membina pengalaman AR mereka sendiri.

Struktur 5E menyediakan urutan yang jelas daripada rasa ingin tahu kepada penerokaan, penerangan, penghasilan dan penilaian. Penekanan pada bukti juga memberi ruang kepada murid untuk menyemak serta memperbaiki idea mereka.

Keberkesanan pendekatan ini boleh dinilai melalui perubahan penjelasan murid, ketepatan hubungan antara artifak dengan kegiatan manusia, dan kualiti alasan yang diberikan.

Pelajaran ini memberi peluang kepada murid mengembangkan:

  • Pemikiran kritis.
  • Literasi sejarah dan penilaian bukti.
  • Kreativiti.
  • Komunikasi dan kolaborasi.
  • Kompetensi digital.
  • Penyelesaian masalah.

Closing Reflection

"Sejarah bukan sekadar mengingati nama zaman atau mengenal pasti objek lama. Melalui pelajaran ini, murid diajak bertanya, meneliti bukti dan membina penjelasan tentang kehidupan manusia."

Pernahkah anda menggunakan AR atau objek 3D untuk membantu murid memahami sejarah? Bagaimanakah anda membimbing mereka membina inferens tanpa terus memberikan jawapan? Kongsikan pendapat anda diruangan komen dibawah.

0 replies

This post contains content from YouTube.

If you choose to view this content, YouTube may collect and process certain personal data. You can view YouTube’s <a href="https://www.youtube.com/t/privacy" target="_blank">privacy policy here<span class="a11y">(opens in new window)</span>.</a>

This post contains content from YouTube.

You have rejected content from YouTube. If you want to change your consent, press the button below.