Topik Sistem Mekatronik dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi bagi murid Tingkatan 3sering menjadi cabaran kerana murid perlu memahami bagaimana gabungan komponen mekanikal, elektronik, elektrik serta kawalan dan pengaturcaraan berfungsi sebagai satu sistem yang saling berhubung. Kebanyakan murid hanya melihat produk akhir seperti mesin basuh, pintu gelangsar automatik atau kereta kawalan jauh tanpa memahami bagaimana setiap komponen bekerjasama menghasilkan sesuatu fungsi.
Pengalaman pembelajaran imersif menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) melalui Reality Composer membolehkan murid meneroka model tiga dimensi, berinteraksi dengan setiap komponen serta memerhati bagaimana sistem mekatronik berfungsi dalam aplikasi dunia sebenar.
Subjek
Reka Bentuk dan Teknologi (RBT)
Tahap
Tingkatan 3 (Menengah Rendah)
Tema
Pembangunan Produk
Bab
1.1 Mekatronik
Standard Pembelajaran
1.1.4 Mengenal pasti komponen mekatronik pada produk sedia ada.
Area Fokus
- Pemikiran Kritis
- Pembelajaran Berasaskan Penerokaan
- Pembelajaran Imersif (Immersive Learning)
Elemen Merentas Kurikulum
- TMK
- Kreativiti dan Inovasi
- Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
- Pembelajaran Kontekstual
Soalan Utama
Pembelajaran dimulakan dengan beberapa soalan yang mencetuskan pemikiran murid.
Apakah produk mekatronik yang anda gunakan setiap hari?
Bagaimanakah produk tersebut berfungsi secara automatik?
Apakah komponen yang membolehkan sistem tersebut beroperasi?
Soalan-soalan ini membantu mengaktifkan pengetahuan sedia ada murid serta menggalakkan mereka melihat sesuatu produk bukan sekadar sebagai sebuah peralatan, tetapi sebagai satu sistem yang terdiri daripada pelbagai komponen yang saling berinteraksi.
Pengalaman Pembelajaran
Bagi mencetuskan rasa ingin tahu serta menjadikan pembelajaran lebih bermakna, murid diperkenalkan kepada beberapa contoh produk mekatronik seperti mesin basuh automatik, pintu gelangsar automatik dan kereta kawalan jauh menggunakan aplikasi Reality Composer.
Melalui pengalaman Augmented Reality (AR), murid boleh melihat model tiga dimensi bersaiz sebenar muncul di hadapan mereka. Mereka bebas bergerak mengelilingi model, membesarkan objek serta meneroka setiap komponen dengan menyentuh hotspot interaktif yang disediakan.
Setiap komponen seperti mekanikal, elektronik, elektrik, serta kawalan dan pengaturcaraanboleh dipilih secara individu untuk memaparkan penerangan, fungsi dan contoh aplikasi sebenar.
Melalui pengalaman ini, murid dapat memahami bahawa sesuatu produk mekatronik sebenarnya merupakan gabungan beberapa sistem yang saling bekerjasama bagi menghasilkan satu fungsi yang lengkap.
Murid juga memerhati bagaimana isyarat daripada sistem kawalan dihantar kepada komponen elektrik dan elektronik sebelum menghasilkan pergerakan melalui komponen mekanikal.
Pengalaman visual dan interaktif ini membantu murid menghubungkan konsep teori dengan aplikasi dunia sebenar secara lebih bermakna.
Kreativiti dengan Teknologi Apple
Reality Composer
Reality Composer digunakan untuk membina pengalaman pembelajaran Augmented Reality yang membolehkan murid meneroka model tiga dimensi secara interaktif.
Murid boleh memilih contoh sistem mekatronik yang ingin diterokai sebelum menyiasat setiap komponen melalui hotspot interaktif. Pengalaman pembelajaran ini menjadikan konsep abstrak lebih mudah difahami melalui visualisasi dan interaksi secara langsung.
Rakaman Skrin & Tangkapan Skrin
Semasa meneroka model AR, murid menggunakan fungsi Screen Recording dan Screenshotpada iPad bagi merekod pemerhatian mereka terhadap setiap komponen yang diterokai.
Rakaman ini menjadi eviden pembelajaran serta membantu murid membuat analisis terhadap fungsi setiap komponen dalam sesuatu sistem mekatronik.
Pages
Murid menghasilkan Jurnal Pembelajaran Digital menggunakan aplikasi Pages.
Mereka memasukkan tangkapan skrin, penerangan serta refleksi mengenai fungsi setiap komponen mekatronik yang telah diterokai.
Jurnal ini membolehkan murid mendokumentasikan pemahaman mereka secara sistematik serta menjadi portfolio digital pembelajaran.
Impak Terhadap Pembelajaran
Pengalaman pembelajaran menggunakan Reality Composer meningkatkan pemahaman murid terhadap konsep Sistem Mekatronik dengan lebih berkesan berbanding penggunaan rajah statik dalam buku teks.
Visualisasi tiga dimensi membolehkan murid melihat bagaimana komponen mekanikal, elektronik, elektrik serta kawalan dan pengaturcaraan saling berhubung dalam sesuatu produk.
Murid juga menunjukkan tahap keyakinan yang lebih tinggi semasa menerangkan fungsi setiap komponen menggunakan istilah teknikal yang tepat.
Jurnal pembelajaran digital yang dihasilkan melalui Pages membuktikan bahawa murid bukan sahaja mampu mengenal pasti komponen mekatronik, malah dapat menerangkan bagaimana setiap komponen bekerjasama menghasilkan sesuatu fungsi.
Pengalaman pembelajaran ini mengukuhkan pendekatan Explore • Interact • Reflect, di mana murid belajar melalui penerokaan, pemerhatian dan refleksi kendiri.
Dengan menghidupkan sistem mekatronik melalui pengalaman Augmented Reality, pembelajaran menjadi lebih menarik, kontekstual dan autentik, sekali gus membantu murid menghubungkan konsep yang dipelajari di bilik darjah dengan teknologi yang mereka gunakan dalam kehidupan harian.


Attach up to 5 files which will be available for other members to download.